Insentif RM213,000 Manfaat 137 Pelajar, 14 Persatuan Di Parlimen Kapit
KAPIT: Seramai 137 pelajar cemerlang dan 14 persatuan serta organisasi kemasyarakatan di Parlimen Kapit menerima insentif pendidikan dan sumbangan cek berjumlah RM213,000.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian insentif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan modal insan, di samping memperkasa peranan masyarakat melalui pelbagai pertubuhan di kawasan Parlimen Kapit.
Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima, khususnya pelajar, bagi menyokong usaha mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Gunakanlah bantuan ini dengan sebaiknya untuk tujuan pendidikan dan pembangunan diri. Berikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran agar menjadi generasi yang berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek dan Insentif Pelajar Parlimen Kapit yang berlangsung di Hotel Meligai Kapit, pada Khamis.
Pada majlis itu, sebanyak RM68,500 diperuntukkan kepada 137 pelajar menerusi Insentif Pelajar, manakala RM144,500 lagi disalurkan kepada 14 persatuan dan organisasi kemasyarakatan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit.-EDISI UKAS