Peruntukan RM300,000 Bantu Tingkatkan Kemudahan Komuniti Kampung Tegelam
GEDONG: Penduduk Kampung Tegelam bakal menikmati kemudahan awam yang lebih selesa dan selamat menerusi pelaksanaan dua projek infrastruktur bernilai RM300,000 yang diluluskan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata peruntukan tersebut melibatkan RM100,000 bagi menaik taraf kawasan parkir kenderaan, termasuk kerja-kerja penambahbaikan susulan pembinaan tembok penahan yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Menurut beliau, sebanyak RM200,000 lagi diperuntukkan bagi menaik taraf padang futsal berhampiran sekolah melalui kerja pembesaran kawasan padang serta pembinaan tembok penahan bagi mengurangkan risiko banjir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai 2026 di Rumah Panjang Kampung Tegelam pada Sabtu.
Katanya, kedua-dua projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi Projek Mesra Rakyat bagi memastikan kemudahan yang diperlukan penduduk dapat disediakan dalam tempoh yang lebih cepat dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
“Projek berskala kecil seperti ini memberi impak besar kepada penduduk kerana ia memenuhi keperluan setempat serta meningkatkan keselesaan dan keselamatan penggunaan kemudahan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Rodiyah menggalakkan penduduk terus mengemukakan cadangan projek kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batang Sadong supaya lebih banyak inisiatif pembangunan dapat dipertimbangkan mengikut keperluan kawasan.
Beliau berkata walaupun perancangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun hadapan telah dikenal pasti, usaha mendapatkan sumber pembiayaan alternatif akan terus dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan dapat direalisasikan.
Majlis turut diserikan dengan upacara simbolik ngetas ranyai dan ngiling tikai sebagai penutup sambutan Hari Gawai Dayak, sekali gus mencerminkan usaha berterusan memelihara warisan budaya masyarakat Dayak.
Turut hadir, Wakil Khas ADUN Gedong Dato Sri Mohamad Naroden Majais, wakil Pegawai Daerah Gedong Tracy Lukas Miri, Penghulu Iban Kampung Tegelam David Tungkuh, Tuai Rumah Kampung Tegelam Uja Chu serta penduduk setempat. -EDISI UKAS