RM20 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Sapit
PADAWAN: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana berjumlah RM20 juta bagi memulakan projek menaik taraf Jalan Kampung Sapit.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susi berkata, jalan itu nanti akan menjadi pemangkin utama pembangunan Kampung Sapit dengan meningkatkan kesalinghubungan, merancakkan sektor pelancongan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Katanya, projek yang dilaksanakan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu nantu akan menjadi pemangkin utama perubahan landskap pembangunan setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merun Kasah Biya 2026 di Balairaya Kampung Biya Sapit, di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan pembangunan kawasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu turut memberitahu bahawa kerajaan turut menyalurkan RM200,000 melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaiktaraf sistem bekalan air graviti di kampung berkenaan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi menaiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Sapit demi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada masyarakat setempat.
Turut hadir Penolong, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan, Paul Mathieus Akin, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Penghulu Bidayuh Kawasan Annah Biya Dorong Kabut, barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Padawan, Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP) serta ahli jawatankuasa Persatuan Biya Kuching (PEBIYA). -EDISI UKAS