Pendidikan STEM Asas Lahirkan Generasi Peneraju AI & Aeroangkasa Sarawak
KUCHING: Pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasakan sebagai persediaan melahirkan generasi peneraju kecerdasan buatan (AI) dan aeroangkasa yang mampu memacu ekonomi baharu Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, penganjuran Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan awal kepada murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif.
“Kegiatan seperti ini amat penting kerana ia memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih interaktif dan juga menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penangguhan Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM 3.0 Satok di Dewan SK Combined di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, tema ‘STEM Sparks: Igniting AI and Aerospace Dreams’ amat bertepatan dengan hala tuju Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang sedang bergerak ke arah ekonomi digital, teknologi, inovasi dan ekonomi hijau.
Menurutnya, penguasaan STEM menjadi semakin penting memandangkan bidang seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, robotik dan aeroangkasa bakal menjadi antara pemacu utama ekonomi masa depan Sarawak.
Beliau turut memaklumkan Sarawak kini bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah sedang membangunkan teknologi sendiri menerusi SMD Semiconductor yang berjaya menghasilkan reka bentuk cip sebagai harta intelek milik negeri, sekali gus membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada graduan tempatan dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, fizik dan kimia.
Dalam masa sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan sektor aeroangkasa yang mempunyai potensi besar untuk masa depan negeri, termasuk pembangunan satelit orbit bumi rendah bagi meningkatkan capaian internet terutama di kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar.
“Melalui ‘Sarawak Space Agency’, Sarawak berhasrat menjadi hab aeroangkasa serantau serta membangunkan teknologi satelit yang dapat menyokong ‘Internet of Things’ (IoT), ekonomi digital dan pembangunan teknologi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, cip yang dibangunkan Sarawak turut berpotensi digunakan dalam pembangunan satelit dan industri penerbangan termasuk oleh syarikat pengeluar pesawat seperti Airbus dan Boeing, selain teknologi satelit berkenaan boleh dimanfaatkan dalam sektor pertanian, pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana serta pelbagai aplikasi digital yang lain.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Satok Abdul Samad Gany, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman serta Guru Besar SK Combined Muhamad Shaharudin Muhamad Sarip. -EDISI UKAS