BINTULU: Aktiviti sukan terus diiktiraf sebagai antara medium berkesan dalam memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata, program berasaskan komuniti seperti ‘Inter Parish Men’s Fellowship Sport Day’ bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal, malah menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan peserta.
Menurut beliau, sukan berupaya membina semangat persaudaraan, meningkatkan tahap kesihatan serta mengukuhkan perpaduan dalam komuniti.
“Dalam masyarakat majmuk di Sarawak, program seperti ini merupakan wadah terbaik untuk merapatkan hubungan, memupuk semangat muhibah dan membina jaringan persahabatan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Inter Parish Men’s Fellowship Sport Day anjuran Men’s Fellowship, St. Thomas Church, di sini pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu juga berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang mampu memperkukuh perpaduan, memupuk semangat kebersamaan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa Men’s Fellowship, St. Thomas Church serta wakil-wakil gereja yang mengambil bahagian dalam program berkenaan. -EDISI UKAS