FTES Perkasa Akses Pendidikan Tinggi Anak Sarawak, Pelajar Hargai Inisiatif Kerajaan Negeri
KAPIT: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak terus memperkasa akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak, khususnya mereka yang berasal dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Euclid Nyelang Maryland berkata, skim tersebut memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos pendidikan yang tinggi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memperkenalkan skim ini.
“FTES amat membantu anak-anak Sarawak, khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan tinggal di kawasan pedalaman, untuk meneruskan pengajian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Simbolik FTES sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Kapit yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Dewan Suarah Kapit, pada Sabtu.
Menurutnya, pemberian elaun sara hidup menerusi skim tersebut membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran tanpa perlu memikirkan beban kewangan harian.
Sementara itu, seorang lagi pelajar UTS, Adrian Patan Neil berkata, FTES bukan sahaja mengurangkan beban kewangan ibu bapa, malah meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik.
Katanya, pembiayaan penuh yuran pengajian membolehkan pelajar memberi fokus kepada pembelajaran tanpa perlu risau mengenai kos pendidikan.
Dalam pada itu, Debora Dujong Belaja berkata, FTES diwujudkan bagi memastikan semua anak Sarawak mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa kekangan kewangan.
Beliau berharap skim tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai anak Sarawak dapat menikmati manfaatnya, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Saya sangat berharap skim ini bukan sekadar menjadikan skim pendidikan percuma ini, tetapi menjadi titik perubahan kepada masyarakat Sarawak.
“Saya juga berharap setiap anak Sarawak berani mengejar cita-cita tanpa risau tentang kos pengajian dan penerima akan kembali menyumbang ilmu dan kepakaran demi pembangunan Sarawak,” ujarnya.-EDISI UKAS