Sarawak Naik Taraf 5,700 Kilometer Jalan Balak Secara Berperingkat
KAPIT: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek menaik taraf keseluruhan 5,700 kilometer (km) jalan balak di seluruh negeri secara berperingkat bagi meningkatkan jaringan perhubungan, sekali gus merancakkan pembangunan kawasan pedalaman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif tersebut kini berada pada peringkat akhir proses pengenalpastian dan perekodan jajaran jalan sebelum pelaksanaan kerja naik taraf dimulakan secara berfasa memandangkan projek itu memerlukan peruntukan yang besar.
“Di Kapit saja ada lebih 1,000 kilometer (km). Jalan balak ini akan kita naik taraf. Di Baram ada juga lebih 2,008 km. Yang banyak ialah di Kapit dan Baram selain di Lawas dan Limbang serta Sri Aman.
“Jumlah semua adalah 5,700 km,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.
Menyentuh pembangunan Kapit, Datuk Patinggi Abang Johari berkata kerajaan negeri turut merancang membangunkan bandar itu sebagai sebuah bandar lestari yang moden, tersusun dan mesra alam.
“Sebab itu kita hantar pegawai kita dari Kapit ke Norway. Ini impian kita, mudah-mudahan menjadi realiti bahawa Kapit akan menjadi bandar unik, mesra alam dan tersusun dengan bangunan yang lestari.
“Ini yang kita hendak bangunkan untuk tempoh lima hingga 10 tahun ini. Tetapi kita terpaksa menyesuaikan struktur pelan induk untuk pembangunan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Dato Sri Alexander Nanta berkata kawasan lapangan terbang lama Kapit turut dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan bandar berkenaan.
“Premier Sarawak akan melawat tapak di lapangan terbang lama yang akan kita usul untuk dibangunkan dengan pelbagai kemudahan.
“Selain itu, bagi mengatasi kesesakan trafik di Kapit, Premier Sarawak juga telah meluluskan dua pakej projek bernilai RM58 juta dan RM93 juta untuk menaik taraf jalan.
“Premier Sarawak turut meluluskan peruntukan bagi penyediaan kemudahan lain melalui URDA,” ujarnya.-EDISI UKAS