Sarawak Perkukuh Kerjasama AI Dengan Lithuania, Teroka Peluang Ekonomi Digital Global
VILNIUS: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan pembangunan bandar pintar menerusi siri lawatan teknikal serta pertemuan strategik bersama kerajaan Lithuania.
Delegasi Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, mengadakan beberapa sesi libat urus di Vilnius bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan teknologi, keselamatan siber dan infrastruktur digital.
Lawatan dimulakan dengan kunjungan teknikal ke Pusat Pengurusan Trafik Vilnius yang menggunakan sistem berasaskan AI bagi memantau pergerakan trafik secara masa nyata melalui kamera pintar di persimpangan jalan.
Sistem tersebut membolehkan pihak berkuasa memantau kesesakan lalu lintas, kemalangan serta keadaan jalan raya dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan trafik bandar.
Delegasi turut diberikan taklimat mengenai sistem pemantauan pengangkutan awam Vilnius yang membolehkan kelewatan dan isu operasi dikenal pasti lebih awal bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Menurut Dato Sri Dr Muhammad Abdullah, pendedahan tersebut memberi nilai tambah kepada usaha Sarawak mempercepat penggunaan teknologi AI dalam sektor awam dan pembangunan bandar pintar.
Beliau berkata, Sarawak komited untuk muncul sebagai ekonomi dipacu AI dengan memanfaatkan teknologi inovatif bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta mempertingkat kualiti hidup rakyat.
Pada sebelah petang, delegasi Sarawak mengadakan pertemuan bersama Timbalan Canselor Pertama Kerajaan Republik Lithuania, Justas Pankauskas di Pejabat Perdana Menteri Lithuania.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Duta Diplomasi Digital dan Teknologi Kementerian Luar Lithuania, Lina Viltrakienė serta Penasihat Perdana Menteri Lithuania bagi Persekitaran Pelaburan, Vydūnas Trapinskas.
Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama antara Sarawak dan Lithuania dalam bidang pembangunan AI, transformasi digital, keselamatan siber serta infrastruktur tenaga.
Dalam sesi tersebut, delegasi Sarawak turut mengetengahkan kedudukan strategik negeri ini sebagai hab digital serantau yang berpotensi menjadi lokasi Kedutaan Digital bagi Kesatuan Eropah (EU) di rantau ini.
Justas menyambut baik cadangan kerjasama strategik tersebut dan berkongsi pengalaman Lithuania dalam mengintegrasikan sistem grid tenaga di seluruh Kesatuan Eropah.
Sementara itu, Lina menjelaskan bahawa Lithuania mengamalkan pendekatan AI berpusatkan manusia (Human-Centric AI), yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi sebagai pelengkap kepada keupayaan manusia, bukannya menggantikan peranan mereka.
Beliau turut menyatakan minat Lithuania untuk memperluaskan kerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam bidang keselamatan siber digital dan teknologi angkasa.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kepentingan mengoptimumkan penggunaan pusat data AI bagi menyokong inisiatif kerajaan digital serta pelaksanaan pelbagai penyelesaian teknologi pada masa hadapan. -EDISI UKAS