Kapit Nadi Tenaga Hijau Sarawak, Tonggak ‘Battery of the Region’
KAPIT: Bahagian Kapit bukan sekadar lokasi empangan hidroelektrik terbesar di Sarawak, malah berperanan sebagai nadi utama yang menggerakkan aspirasi negeri untuk muncul sebagai 'battery of the region' menerusi penghasilan tenaga hijau berskala besar.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, rakyat Kapit mempunyai sebab yang kukuh untuk berbangga kerana sebahagian besar tenaga yang memacu industri, ekonomi dan pembangunan masa depan Sarawak dijana dari bahagian itu.
Menurut beliau, Empangan Bakun, Murum dan Baleh bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya menjadi simbol sumbangan Kapit dalam memperkukuh agenda tenaga bersih dan ekonomi hijau negeri.
"Apabila kita mengatakan Sarawak adalah 'battery of the region', maka kita juga harus mengakui bahawa Kapit adalah salah satu komponen terpenting dalam bateri tersebut kerana di sinilah tenaga itu dijana," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Alexander Nanta berkata, pada tahun ini Sarawak mempunyai kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 5,898 megawatt (MW), dengan lebih 58 peratus daripadanya disumbangkan oleh loji hidroelektrik di Kapit.
Daripada jumlah itu, ujarnya, Empangan Bakun menyumbang 2,520 MW, manakala Empangan Murum menghasilkan 944 MW, sekali gus menjadikan Bahagian Kapit sebagai pusat penjanaan tenaga boleh diperbaharui terbesar di negeri ini.
"Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 10 gigawatt (GW).
" Sasaran itu akan diperkukuh melalui Projek Hidroelektrik Baleh yang dijangka menambah lagi 1,000 MW kepada kapasiti sedia ada.
"Selain hidroelektrik, Kerajaan Sarawak turut merancang pembangunan projek solar terapung di Empangan Bakun dan Murum, di samping pelaksanaan projek Cascading Power Source serta Pumped Hydro Storage di Bahagian Kapit bagi meningkatkan keselamatan dan kestabilan bekalan tenaga pada masa hadapan," jelasnya.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, dalam masa sama, Kapit turut menyumbang kepada sektor tenaga melalui sumber arang batu dari Merit Pila, yang membekalkan sehingga 40,000 tan metrik sebulan ke Stesen Janakuasa Arang Batu Sejingkat bagi menyokong operasi loji berkapasiti 120 MW itu.
Mengulas konsep 'Kapit Division as The Green Energy Powerhouse of Sarawak', Dato Sri Alexander Nanta menegaskan ia bukan sekadar slogan, sebaliknya menggambarkan realiti bahawa Kapit merupakan pusat utama penjanaan tenaga hijau yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pembangunan mampan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar pembangunan tenaga di Kapit diseimbangkan dengan usaha memperluaskan jaringan bekalan elektrik grid ke kawasan yang masih belum menikmati akses elektrik yang stabil, khususnya di sepanjang koridor Belaga dan Merit.
Menurutnya, masyarakat di kawasan yang menjadi penyumbang utama tenaga hijau negeri juga wajar menikmati manfaat pembangunan melalui bekalan elektrik yang menyeluruh dan berkualiti.
"Bekalan elektrik yang stabil bukan sahaja penting untuk kegunaan harian, malah menjadi pemangkin kepada pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar.
"Adalah menjadi harapan rakyat agar kawasan yang menjadi antara penyumbang utama tenaga hijau Sarawak turut menikmati bekalan elektrik yang stabil dan menyeluruh," katanya. -EDISI UKAS