Kerjasama Semua Pihak Penting Banteras Penyalahgunaan Dadah
DEBAK: Seluruh lapisan masyarakat diseru agar terus memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah bagi mewujudkan komuniti yang selamat, sejahtera dan bebas daripada ancaman gejala sosial.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, usaha memerangi penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi erat antara agensi pelaksana, pemimpin masyarakat, institusi keluarga, pertubuhan komuniti dan seluruh anggota masyarakat.
“Mengambil pengajaran daripada Surah Ali 'Imran ayat 104, usaha membimbing dan memulihkan individu yang pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah merupakan satu tanggungjawab mulia yang selari dengan tuntutan agama, di samping menyokong aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 dan Sarawak Ku Sayang dalam membina masyarakat yang inklusif serta sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Keselamatan Komuniti Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Perpaduan, Debak, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad Razi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, khususnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak bersama rakan strategik Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Kecil Debak, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Betong, One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Betong, Persatuan Pencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Betong, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong serta Skuad Antidadah Bahagian Betong.
Menurut beliau, program tersebut memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu meningkatkan kesedaran dan daya tahan komuniti melalui pendidikan dan advokasi, memperkasakan klien AADK yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) sebagai ejen perubahan, serta memperkukuhkan kehadiran strategik agensi penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi bagi membendung penyalahgunaan dadah.
Beliau berharap Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Keselamatan Komuniti Bahagian Betong akan terus mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi impak berpanjangan kepada peserta serta masyarakat dalam membentuk persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada ancaman dadah.-EDISI UKAS