Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Tenaga Hijau, Buka Peluang Kepada Koperasi
MIRI: Usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga hijau serantau menerusi pembangunan tenaga hidro, ekonomi hidrogen dan tenaga solar membuka peluang besar kepada koperasi untuk menerokai projek tenaga hijau berasaskan komuniti.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, Sarawak berada pada kedudukan yang strategik untuk menerajui agenda ekonomi hijau apabila berjaya mencapai lebih 70 peratus campuran tenaga hijau dalam penjanaan elektrik negeri.
Beliau berkata, kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi masa depan negeri.
“Masa depan ekonomi hijau Sarawak bukan sahaja dipacu oleh syarikat besar atau pelabur antarabangsa, tetapi turut dibina oleh koperasi tempatan yang memahami keperluan masyarakat dan mampu mengagihkan manfaat pembangunan secara lebih inklusif.
Justeru, saya ingin menyeru agar koperasi-koperasi di Sarawak tidak sekadar menjadi pengguna teknologi hijau, tetapi berani melangkah sebagai pemilik aset dan penggerak ekonomi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Bicara Ilmu Ekonomi Hijau Sarawak: Peluang Koperasi Dalam Tenaga dan Kelestarian di sebuah hotel, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, koperasi di kawasan seperti Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas mempunyai potensi untuk meneroka projek tenaga hijau termasuk pemasangan sistem solar di bangunan koperasi, pusat komuniti dan premis perniagaan milik mereka.
Katanya, langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi melalui penjimatan bil elektrik, malah berpotensi mewujudkan sumber pendapatan baharu serta memberi manfaat langsung kepada anggota dan komuniti setempat. –EDISI UKAS