Miri dicadang jadi lokasi Kem Pengakap Laut pertama di Sarawak
MIRI: Cadangan menubuhkan sebuah Kem Pengakap Laut di Miri dilihat berpotensi memperkukuh pembangunan belia dan latihan kepengakapan marin di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Miri mempunyai kelebihan tersendiri dan amat sesuai dijadikan lokasi akademi tersebut memandangkan kedudukannya yang strategik serta kemudahan sedia ada yang menyokong pelbagai aktiviti Pengakap Laut.
“Mungkin sudah tiba masanya kita mewujudkan akademi ini. Dengan adanya pusat latihan yang khusus, kita dapat melatih lebih ramai golongan muda dan pelajar untuk terlibat dalam pergerakan pengakap, khususnya Pengakap Laut.
“Kewujudan kemudahan perahu layar di Miri turut menjadikan lokasi yang ideal bagi latihan praktikal seperti pelayaran dan kemahiran marin yang merupakan antara komponen penting dalam aktiviti Pengakap Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Sarawak 3.0 anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak di Miri pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Majlis Pengakap Sarawak mengemukakan cadangan rasmi berserta pelan pembangunan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk pertimbangan.
Beliau menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan penuh terhadap usaha tersebut kerana sehingga kini masih belum terdapat akademi khusus bagi Pengakap Laut di Sarawak.
Terdahulu, beliau dimaklumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah mengenai permohonan sebidang tanah di pesisir pantai Miri untuk dijadikan Kem Pengakap Laut, yang sekiranya diluluskan akan menjadi kem yang pertama di Malaysia.
Dalam pada itu katanya, Sarawak yang memiliki lebih 1,000 kilometer garis pantai serta jaringan sungai yang luas memerlukan lebih ramai generasi muda yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkaitan sektor maritim.
“Saya menyeru peserta agar menjadi duta kelestarian alam sekitar dengan memainkan peranan aktif dalam memelihara sungai, laut dan ekosistem pesisir daripada ancaman pencemaran serta aktiviti tidak lestari.”
Tambah beliau, pendidikan marin juga membuka peluang kepada pelbagai kerjaya dalam sektor maritim termasuk perkapalan, logistik, kejuruteraan marin, operasi pelabuhan serta sains dan teknologi maritim.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus komited menyokong program pembangunan belia yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kepimpinan dan kelestarian alam sekitar sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan negeri.
Sementara itu, Kem Pendidikan Marin Pengakap Laut Sarawak 3.0 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Jun ini menghimpunkan seramai 173 peserta dari Sarawak, Sabah, Melaka, Pahang, Terengganu serta Pontianak, Indonesia.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak John Lim Boon Beng, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ts. Mohd Hilmi Abu Bakar serta Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Pengakap Laut) Fauziah Pata.-EDISI UKAS