Kutipan Cukai Pintu Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan PBT
KOTA SAMARAHAN: Kutipan cukai pintu yang cekap dan konsisten penting bagi memperkukuh keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan perkhidmatan serta kemudahan awam yang berkualiti kepada rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap pemilik kediaman perlu memahami bahawa hasil kutipan cukai pintu disalurkan semula untuk membiayai penyelenggaraan dan pembangunan kemudahan awam.
“Penyediaan perkhidmatan memerlukan kos. Sebab itu cukai pintu perlu dibayar kerana hasilnya digunakan semula untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2026 di Kota Samarahan, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, hasil kutipan tersebut dimanfaatkan bagi membiayai pelbagai perkhidmatan termasuk penyelenggaraan jalan raya, lampu jalan, kebersihan bandar, landskap, taman rekreasi serta kemudahan awam yang dinikmati masyarakat.
Tambahnya, peningkatan pembangunan di Kota Samarahan memerlukan sistem kewangan PBT yang mampan bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi seiring pertumbuhan bandar.-EDISI UKAS