Juh Nambah Ilmu Perkasa Budaya Membaca, Pembelajaran Sepanjang Hayat Komuniti Luar Bandar
LUNDU: Program Juh Nambah Ilmu 2026 Siri 1: Back To Community menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya membaca, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta meningkatkan literasi digital masyarakat luar bandar selaras dengan agenda pembangunan modal insan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, program seumpama itu amat relevan dalam mendepani perubahan pesat dunia yang dipacu revolusi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan kemajuan teknologi.
Menurut beliau, ilmu merupakan aset paling bernilai dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Program seperti Juh Nambah Ilmu membuktikan bahawa pembelajaran bukan hanya berlaku di sekolah atau universiti, malah boleh berlaku di balai raya, perpustakaan, kampung dan di mana-mana sahaja.
“Inilah contoh perkhidmatan kerajaan yang benar-benar mendekati rakyat apabila ilmu, teknologi, inovasi dan pembelajaran dibawa terus kepada masyarakat luar bandar tanpa mengira usia, latar belakang mahupun tahap pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Juh Nambah Ilmu 2026 Siri 1: Back To Community di Balai Raya Kampung Serayan Hilir, baru-baru ini.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada PUSTAKA Negeri Sarawak atas komitmen berterusan menganjurkan program tersebut yang disifatkannya sebagai medium berkesan dalam memperluas akses masyarakat kepada ilmu, teknologi dan inovasi.
Katanya, peranan PUSTAKA kini bukan sekadar sebagai pusat rujukan bahan bacaan, malah telah berkembang menjadi pusat pembelajaran digital, inovasi dan pembangunan komuniti.
Beliau menambah, usaha mendekati masyarakat luar bandar perlu diteruskan bagi memastikan mereka memperoleh akses kepada bahan bacaan berkualiti, teknologi maklumat, latihan kemahiran, keusahawanan serta pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail, Ketua Sektor Pembangunan Komuniti PUSTAKA Sarawak, Razak Rambili serta Ketua Kaum Kampung Serayan Hilir, Madin Etot.-EDISI UKAS