Pemeliharaan Budaya Dayak Perlu Seiring Pembangunan Luar Bandar
LUNDU: Pemeliharaan adat dan budaya masyarakat Dayak perlu terus diperkasa seiring dengan pembangunan luar bandar bagi memastikan warisan turun-temurun kekal lestari untuk generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sambutan Gawai Dayak bukan sekadar pesta tahunan, malah menjadi wadah penting untuk menzahirkan kesyukuran atas rezeki dan kesejahteraan yang dikecapi, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, masyarakat Kampung Biawak wajar dipuji kerana terus mengekalkan semangat kebersamaan serta memelihara adat dan budaya yang menjadi identiti masyarakat Dayak.
Berucap semasa Majlis Sambutan Gawai Dayak Kampung Biawak 2026 di Kampung Biawak, beliau turut menyeru golongan muda agar terus menghargai warisan budaya dan adat resam, sambil menegaskan bahawa kemajuan yang dikecapi tidak seharusnya menghakis nilai tradisi, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti serta jati diri masyarakat.
Pada masa sama, Billy menjelaskan, pembangunan di kawasan kampung akan terus diberi perhatian, khususnya melibatkan penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur yang diperlukan penduduk.
Katanya, pelaksanaan projek pembangunan akan diteruskan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan semasa demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Turut hadir Pemanca Allen Manium Enggang, Penghulu Kutong Enggang serta Ketua Kaum Kampung Biawak, Linang Juki.-EDISI UKAS