Pemeliharaan Adat Gawai Perkukuh Perpaduan, Pembangunan DUN Opar Terus Diperkasa
SEMATAN: Sambutan Gawai bukan sekadar meraikan adat dan warisan masyarakat Dayak, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, tradisi seperti Majlis Ngolong Tikar wajar terus dipelihara kerana mencerminkan semangat kebersamaan, muafakat dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja memelihara adat dan budaya masyarakat, malah menjadi platform memperkukuh semangat muhibah serta kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ngolong Tikar sempena Penutupan Gawai Kampung Judin 2026 di Kampung Judin, baru-baru ini.
Pada masa sama, Billy menegaskan pembangunan di kawasan DUN Opar akan terus diberi perhatian, khususnya dalam memenuhi keperluan asas penduduk luar bandar yang masih memerlukan penambahbaikan.
Katanya, pelaksanaan projek di bawah Kerajaan Sarawak dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) telah mempercepatkan pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut.
Beliau berkata, pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan dan naik taraf dewan, jalan pertanian serta kemudahan asas lain telah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat demi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sematan, Mohd Ameerullah Roslan, Penghulu Wang Ering serta Ketua Kaum Kampung Judin, Adris Kabon.-EDISI UKAS