Pelajar Separuh Masa Bukti Ilmu dan Kerjaya Boleh Bergerak Seiring
KUCHING: Kejayaan pelajar separuh masa membuktikan bahawa ilmu pengetahuan dan kerjaya mampu bergerak seiring dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta berintegriti untuk pembangunan negeri dan negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kecekalan pelajar dalam mengimbangi tuntutan pekerjaan dan pengajian merupakan contoh kegigihan yang wajar dicontohi, selain mencerminkan keberkesanan ekosistem pendidikan fleksibel yang disediakan institusi pengajian tinggi.
“Sinergi ilmu dan kerjaya membolehkan kita mencipta masa depan yang lebih cerah serta membina masyarakat yang berkualiti, berdaya saing dan berintegriti.
"Kejayaan pelajar separuh masa adalah bukti bahawa ekosistem pendidikan fleksibel mampu memartabatkan modal insan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Separuh Masa (iCEPS) UiTM Cawangan Sarawak 2026 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching pada Sabtu.
Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan bahawa pendidikan dan pembangunan modal insan merupakan antara pemboleh utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang bertujuan menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi amat penting bagi memenuhi keperluan ekonomi digital dan hijau yang menjadi fokus pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak UiTM Cawangan Sarawak dan Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS) atas komitmen menyediakan peluang pendidikan kepada golongan yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin untuk terus menimba ilmu serta menyumbang kepada pembangunan organisasi, komuniti dan negeri Sarawak.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS), Profesor Dr. Faizah Abd Majid, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin, Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM Cawangan Sarawak, Dr Azlina Bujang.-EDISI UKAS