Komitmen Pembangunan Zon Sematan Diperkukuh, RM300,000 Untuk Projek Paip Graviti
SEMATAN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan komuniti di Zon Sematan menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, agenda pembangunan di kawasan itu akan terus dilaksanakan secara inklusif, terancang dan mampan berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif pembangunan telah dan sedang dilaksanakan termasuk projek pembinaan jalan raya dari rumah ke rumah di Kampung Pueh Kenek yang kini siap sepenuhnya, sekali gus menjadikan kampung itu antara yang terawal menikmati kemudahan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Bakomok di Balai Raya Kampung Pueh Kenek baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut meluluskan permohonan penduduk bagi pembinaan sebuah stor dewan secara gotong-royong untuk kegunaan komuniti setempat.
Bagi fasa pembangunan seterusnya, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada penambahbaikan sistem perparitan di dalam kampung bagi memastikan persekitaran yang lebih teratur, selamat dan selesa.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan projek paip graviti yang akan menghubungkan Sebat Dayak ke Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek dan Siru Dayak bagi menambah baik bekalan air di kawasan berkenaan.
Menyentuh isu liputan telekomunikasi, beliau menggesa penduduk mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkaitan.
Menurut beliau, akses internet kini merupakan keperluan asas yang penting dalam menyokong komunikasi, pendidikan, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta urusan ekonomi digital.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 penerima asnaf dari Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek, Siru Dayak dan Sebat Dayak sebagai usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Turut hadir Penghulu Ramil Mina dan Ketua Kaum Kampung Pueh Kenek, KK Lida Benet.-EDISI UKAS