Pembentangan Penambahan 17 Kerusi DUN Sarawak Tidak Sempat Dilaksana Tahun Ini
KUCHING: Cadangan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka tidak sempat dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini berikutan proses persempadanan semula yang masih di peringkat pelaksanaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPR, beberapa proses dan prosedur masih perlu diselesaikan sebelum cadangan tersebut boleh dibawa ke Parlimen.
"Paling cepat, saya kira mereka boleh pamerkan (cadangan) untuk orang awam di mana lepas pameran, SPR akan ada ruang untuk orang awam membuat sama ada pembantahan dan sebagainya.
"Maka, proses dan prosedur tersebut sahaja mungkin tidak dapat memenuhi tempoh untuk tahun, jadi kemungkinan besar tahun hadapan akan dibawa (untuk dibentang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM Parlimen Petra Jaya di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Petra Jaya, pada Ahad.
Menyentuh mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Datuk Amar Fadillah menjelaskan, kedudukan Sabah dan Sarawak adalah berbeza kerana Sabah mempunyai peruntukan khusus di bawah Perlembagaan yang menetapkan 40 peratus hasil tertentu negeri dikembalikan kepada Sabah.
Bagi Sarawak pula ujarnya, rundingan kini tertumpu kepada Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan formula pembayaran Geran Khas.
"Sarawak, kita lebih melihat pada artikel 112D di mana yang kita dapat adalah dana interim sebanyak RM600 juta.
"Apa yang Sarawak cadangkan ialah formula supaya bila kita buat penyelarasan, ia memerlukan satu formula atau dasar.
"Jadi, perkara ini masih dalam peringkat perundingan dan menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan," ujarnya. -EDISI UKAS