Laluan Berbumbung SJKC Sungai Jaong Siap, Tingkat Keselesaan Murid Asrama
MARUDI: Kemudahan pendidikan di luar bandar terus dipertingkatkan apabila projek pembinaan laluan berbumbung yang menghubungkan bangunan sekolah dengan asrama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Jaong siap dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, projek bernilai RM180,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 itu merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan melebihi RM200,000 yang disalurkan bagi menaik taraf pelbagai kemudahan di sekolah berkenaan.
“Pembinaan laluan berbumbung ini bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan murid asrama, khususnya ketika hujan dan cuaca tidak menentu, selain memudahkan pergerakan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ngiling Bidai dan Majlis Perasmian Laluan Berbumbung Asrama SJKC Sungai Jaong pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata SJKC Sungai Jaong merupakan sebuah sekolah yang unik apabila lebih 80 peratus daripada kira-kira 150 muridnya terdiri daripada pelajar Bumiputera walaupun sekolah itu menggunakan aliran Bahasa Cina.
Menurutnya, keadaan tersebut mencerminkan semangat perpaduan, keterbukaan dan keharmonian yang menjadi kekuatan sistem pendidikan di Sarawak.
Beliau turut menyifatkan sambutan Hari Gawai dan Ngiling Bidai bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Hadir sama Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang; Guru Besar SJKC Sungai Jaong, Tiong Sing Yee; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Sungai Jaong, Huong Yu Neu; serta Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Huing How Lok.- EDISI UKAS