Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Berkenan Cemar Duli Meriahkan Malam Kedua RWMF 2026
KUCHING: Malam kedua Rainforest World Music Festival (RWMF) 2026 diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli ke festival bertaraf antarabangsa itu di Kampung Budaya Sarawak pada Sabtu.
Baginda berdua tiba kira-kira jam 7.30 malam dan disambut oleh barisan kenamaan sebelum meluangkan masa menyaksikan persembahan artis-artis tempatan dan antarabangsa yang mewarnai pentas utama festival.
Turut berkenan mencemar duli ialah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis pada malam Pertama.
Antara persembahan yang mencuri tumpuan ialah kumpulan legenda The Commodores yang diterajui pengasasnya, Thomas McClary, selain persembahan daripada AKASHA (Malaysia), The Thunder Beat of Nanyang Wushu Drum (Sarawak), Straw Lim (Sabah), Drump Up (Filipina), SambaSunda (Indonesia) serta Mangar yang menampilkan kolaborasi artis dari Mongolia dan Jepun.
Keberangkatan Sultan Selangor, Tengku Permaisuri serta Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis mencerminkan sokongan institusi diraja terhadap usaha memartabatkan seni, budaya dan warisan dunia, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Rainforest World Music Festival.
Festival berprestij itu terus menjadi platform yang menghimpunkan penggiat muzik dunia dan memperkenalkan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara festival muzik dunia yang paling berpengaruh di rantau ini.-EDISI UKAS