iCEPS UiTM Sarawak Perkukuh Agenda Pendidikan Fleksibel
KUCHING: ‘Institute of Continuing Education and Professional Studies’ (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan fleksibel melalui penganjuran Majlis Anugerah Penghargaan dan Kecemerlangan 2026 yang menekankan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik serta hubungan strategik dengan industri.
Majlis itu menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras pembangunan modal insan negara, selaras dengan keperluan tenaga kerja masa kini yang semakin dinamik dan berdaya saing.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, penganjuran majlis ini turut menjadi simbol kepada sambutan Evolusi Dekad iCEPS, yang menggambarkan perjalanan transformasi serta kematangan institusi tersebut dalam memperluas akses pendidikan tinggi yang fleksibel kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira batasan kerjaya dan masa.
“Teras utama majlis adalah bagi meraikan kejayaan berterusan pelajar dan graduan iCEPS UiTM Cawangan Sarawak yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah turut memberi impak kepada pembangunan masyarakat melalui pendekatan pendidikan berorientasikan masa hadapan,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang menyampaikan ucaptama serta menyempurnakan penyampaian empat Anugerah Graduan Terbaik Fakulti dan dua Anugerah Khas.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif iCEPS Profesor Dr Faizah Abd Majid, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Profesor Madya Ts ChM Dr Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr Saimi Bujang dan Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM Cawangan Sarawak Dr Azlina Bujang.
iCEPS UiTM Cawangan Sarawak dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama atas sokongan berterusan serta menegaskan komitmen untuk terus memperkasa masyarakat melalui peluasan akses kepada pendidikan sepanjang hayat. -EDISI UKAS