Penduduk Pelbagai Kaum Eratkan Silaturahim, Perkukuh Perpaduan Komuniti
BALINGIAN: Kehadiran masyarakat pelbagai kaum dalam sesuatu program mencerminkan semangat kekeluargaan yang menjadi kekuatan utama dalam komuniti setempat, sekali gus menggambarkan perpaduan dan keharmonian yang terus dipelihara di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran Program Aram Bergulai Ba' Kampung Lintang menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
"Usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat perlu sentiasa diperkukuh agar nilai keharmonian yang sedia ada dapat dikekalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Program seperti ini menjadi medan terbaik untuk kita beramah mesra dan mengeratkan hubungan antara penduduk kampung.
"Ia juga mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Aram Bergulai Ba' Kampung Lintang di kampung berkenaan, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar masyarakat di Kampung Lintang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum terus hidup dalam suasana harmoni, sekali gus menjadi contoh perpaduan yang perlu dipelihara.
Tambahnya, nilai kebersamaan ini perlu terus diperkukuh agar ia kekal menjadi warisan sosial yang kukuh dalam kalangan generasi muda pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Kampung Lintang Hairi Mangali berkata, program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lintang, JKKK Kampung Baru, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lintang dan Brotherhood Balingian.
"Tujuan penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim semua masyarakat di Balingian.
"Pada masa sama, ia dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat berbilang kaum mengenai kepentingan perpaduan negara," katanya.
Hadir sama, ADUN Tellian Royston Valentine, Penghulu Harbi Bakir dan Ketua Kampung Baru Norjan Liau.-EDISI UKAS