Belia Diseru Sokong Inisiatif Pembangunan Generasi Muda di Sarawak
MUKAH: Masyarakat khususnya golongan belia diseru agar terus memberikan sokongan padu terhadap program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program yang dilaksanakan oleh kedua-duanya mampu memperkasa pembangunan belia.
"Program yang dilaksanakan itu juga mampu menjadi platform terbaik dalam melahirkan golongan muda yang aktif, berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak di UiTM Kampus Mukah, di sini, pada Ahad.
Menyentuh mengenai Program Rakan Muda, katanya, ia turut mengalami transformasi selaras dengan perkembangan teknologi apabila pendekatan pelaksanaannya kini beralih daripada kaedah konvensional kepada konsep hibrid yang menggabungkan aktiviti fizikal dan digital.
"Perubahan ini selari dengan perkembangan teknologi apabila hampir semua urusan termasuk pembelajaran, perniagaan dan aktiviti harian kini banyak memanfaatkan platform digital.
"Disebabkan itu, belia perlu terus dibimbing agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa secara positif," jelasnya.
Dalam pada itu, Royston turut mencadangkan agar KBS mewujudkan semula jawatan Penggerak Rakan Muda di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memperkasa pembangunan belia secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Ujarnya , langkah tersebut mampu menjadi medium terbaik untuk mendekati golongan belia di peringkat akar umbi memandangkan individu yang dilantik lebih memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi belia di kawasan masing-masing.
"Jika jawatan Penggerak Rakan Muda dapat diwujudkan semula, saya percaya ia akan menjadi satu langkah yang sangat baik kerana mereka yang berkhidmat di kawasan sendiri lebih mengetahui selok-belok komuniti, sekali gus dapat merancang program yang benar-benar memenuhi kehendak belia setempat," jelasnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak sehingga berlangsung dengan lancar.
Tambahnya, kerjasama erat daripada semua pihak merupakan faktor penting dalam memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat golongan belia dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS