Azrul Aiman Rangkul Gelaran Men Open Samarahan Bike Challenge 2026
KOTA SAMARAHAN: Pekayuh muda berbakat dari Buceros Cycling Team, Azrul Aiman Abu Seli, muncul juara kategori paling berprestij Men Open pada Samarahan Bike Challenge 2026 yang berlangsung meriah di perkarangan The Summer Shopping Mall, di sini, pada Ahad.
Kemenangan tersebut membolehkan Azrul Aiman membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala iringan selepas menampilkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan barisan pelumba elit dari dalam dan luar negara.
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Afif Darwysh, yang menerima hadiah wang tunai RM1,200 manakala Maximilian Fong Hung Chiat dari Giant Racing Team melengkapkan podium di tempat ketiga dengan membawa pulang RM800 berserta piala iringan.
Turut mencuri tumpuan ialah kejayaan Azrul Aiman menguasai kategori Sarawak Closed apabila sekali lagi muncul juara dengan hadiah RM1,000, diikuti Afif Darwysh di tempat kedua (RM800) dan Maximilian Fong Hung Chiat di tempat ketiga (RM600).
Majlis Perasmian Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Samarahan Bike Challenge 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dalam kategori Men Master A, pelumba Rakhmadhani dari EBRT berjaya menamatkan perlumbaan sebagai juara untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Tempat kedua diraih Ebby Deezulkarnaien Damin dari SOSNJ yang menerima RM700 manakala bekas pelumba kebangsaan, Annuar Manan dari Buceros Cycling Team, berada di tempat ketiga dengan hadiah RM500.
Bagi kategori Men Master B, Zulkifli dari GRBCC menampilkan kayuhan konsisten untuk muncul juara dan membawa pulang RM1,000 berserta piala iringan.
Tempat kedua dimenangi Silas Michael Martin dari Giant Racing Team (RM700), manakala Mochammad Hatta dari EBRT menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM500.
Dalam kategori Youth Men, bakat muda Buceros Cycling Team terus menyerlah apabila Awang Faries Danish Awang Faizal muncul juara dengan hadiah RM500.
Tempat kedua menjadi milik Keisyar Amanda Putra dari Viking Xtrem (RM400), manakala Muhammad Harraz Rudean dari MSN Selangor Pembangunan melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan hadiah RM300.
Sementara itu, kategori Men Junior turut dikuasai Buceros Cycling Team apabila Ahmad Zakhwan dinobatkan sebagai juara dengan hadiah RM1,000, diikuti Afif Darwysh Mohamad Nazir di tempat kedua (RM700) dan Faris Daniel Muhammad Rahmatullah di tempat ketiga (RM500).
Bagi kategori Women Open, Nurul Balqis Mohd Hisham dari 58 Cycling Team membuktikan keunggulannya apabila muncul juara dan membawa pulang RM1,000 berserta piala iringan.
Tempat kedua dimenangi Fitriyani dari Viking Extreme yang menerima RM700, manakala Nur Ain Ramadhania dari BDCA berada di tempat ketiga dengan hadiah RM500.
Penganjuran edisi ke-10 Samarahan Bike Challenge tahun ini sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara perlumbaan kriterium paling dinantikan di Sarawak apabila berjaya menghimpunkan lebih 150 pelumba tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai kategori.
Acara tersebut bukan sahaja menjadi pentas melahirkan bakat baharu dalam sukan berbasikal, malah terus memperkukuh kedudukan Kota Samarahan sebagai destinasi pelancongan sukan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau.
Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Samarahan Bike Challenge 2026 Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pengarah Urusan The Summer Shopping Mall Dato Lee Chee Fui, Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) Mohd Hairulnizam Mohd Zamri dan wakil Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Hailwandi Suhaili. -EDISI UKAS