Samarahan Bike Challenge 2026 Catat 156 Penyertaan, Tarik Pelumba Antarabangsa
KOTA SAMARAHAN: Samarahan Bike Challenge 2026 terus membuktikan statusnya sebagai antara acara berbasikal utama di Sarawak apabila berjaya menarik seramai 156 peserta, termasuk penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Kanada dan New Zealand.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata peningkatan jumlah penyertaan membuktikan Samarahan Bike Challenge semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti berbasikal tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, acara yang bermula sebagai platform mencungkil bakat pelumba tempatan itu kini berkembang menjadi produk pelancongan sukan yang mampu menarik kehadiran peserta dan pengunjung dari luar Sarawak.
“Pada asalnya program ini diwujudkan untuk mengetengahkan bakat anak-anak Samarahan dalam sukan berbasikal. Namun selepas melihat potensinya, acara ini terus diperkasakan sehingga menjadi salah satu acara berprestij yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mewakili mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan Majlis Perasmian Penangguhan dan Penyampaian Hadiah acara tersebut di sini, pada Ahad.
Datuk Rubiah berkata, daripada jumlah keseluruhan penyertaan, seramai 20 pelumba antarabangsa mengambil bahagian dengan majoritinya dari Indonesia selain peserta dari Kanada dan New Zealand.
Katanya lagi, sambutan yang diterima menunjukkan Samarahan Bike Challenge bukan sekadar pertandingan sukan, malah telah berkembang menjadi salah satu acara penting dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak.
“Acara ini kini telah disenaraikan dalam kalendar acara pelancongan negeri dan mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dari aspek penganjuran serta promosi,” jelasnya.
Datuk Rubiah turut menyatakan keyakinan bahawa jumlah penyertaan akan terus meningkat pada masa akan datang seiring usaha memperluaskan promosi ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan di Kota Samarahan termasuk projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) serta pembinaan beberapa jalan baharu dijangka memberi impak positif kepada penganjuran acara tersebut pada masa hadapan.
Menurutnya, apabila projek-projek infrastruktur berkenaan siap sepenuhnya, aspek keselamatan, kelancaran laluan perlumbaan dan keselesaan peserta dapat dipertingkatkan dengan lebih baik.
“Kita menjangkakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang, keadaan akan menjadi lebih baik apabila pembinaan jalan dan kemudahan berkaitan selesai sepenuhnya. Ini akan membolehkan penganjuran Samarahan Bike Challenge dilaksanakan dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan kompetitif,” katanya.
Beliau berharap Samarahan Bike Challenge akan terus berkembang sebagai acara sukan berprestij yang bukan sahaja melahirkan lebih ramai pelumba berbakat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan dan ekonomi setempat di Kota Samarahan. -EDISI UKAS