70 Peratus Hasil Cukai Karbon Wajar Dikembalikan Kepada Sarawak, Sabah
KUCHING: Sarawak dan Sabah wajar menerima sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hasil kutipan cukai karbon sekiranya mekanisme tersebut dilaksanakan di peringkat Persekutuan, sejajar dengan peranan kedua-dua wilayah sebagai penyimpan utama karbon negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keluasan hutan hujan tropika serta kawasan paya bakau di Sabah dan Sarawak merupakan aset strategik negara dalam menyerap karbon dan menyokong agenda global menangani perubahan iklim.
“Sabah dan Sarawak ialah penyimpan karbon negara. Jika Kerajaan Persekutuan melaksanakan cukai karbon, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hasil kutipan itu perlu dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak kerana kita memelihara hutan yang menjadi penyerap karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) di Kompleks UNIFOR, pada Ahad.
Menurut beliau, pengagihan hasil tersebut penting bagi memastikan negeri yang memelihara sumber karbon negara menerima manfaat sewajarnya untuk memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar, membangunkan teknologi hijau serta melaksanakan agenda pembangunan mampan.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Sarawak telah mengambil langkah lebih awal dengan menggubal undang-undang berkaitan karbon sebagai persediaan membangunkan ekonomi karbon secara tersusun, sekali gus meletakkan negeri ini di barisan hadapan dalam pembangunan ekonomi hijau.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pasaran karbon global, malah membolehkan negeri ini mengurus sumber karbon secara lebih sistematik selaras dengan prinsip kelestarian.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak dan Sabah perlu terus memperkukuh kerjasama dalam memperjuangkan kepentingan bersama berkaitan dasar karbon negara supaya sebarang manfaat ekonomi yang terhasil daripada sumber semula jadi di kedua-dua wilayah dapat dikembalikan secara adil.
Jelasnya, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri memastikan pembangunan ekonomi hijau dilaksanakan secara inklusif tanpa menjejaskan pemeliharaan khazanah alam yang menjadi kekuatan utama Borneo.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Jerip Susil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang, Pengerusi Yayasan Tun Jugah Dato Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Dato Allan Keripin Nangkai, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) Datuk Ladislaus Maluda serta Pengerusi Penganjur DCCI, Kilat Beriak.— EDISI UKAS