Sarawak Cadang Platform Ekonomi Borneo Perkukuh Daya Saing Global
KUCHING: Sarawak mencadangkan pembentukan Platform Ekonomi Borneo yang menghimpunkan Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei sebagai langkah memperkukuh daya saing rantau ini dalam ekonomi hijau, perdagangan karbon dan pelaburan strategik di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama rentas sempadan itu perlu dipacu melalui jaringan lebih erat antara komuniti perniagaan dan dewan perdagangan di Borneo bagi membolehkan rantau ini memanfaatkan potensi ekonomi baharu yang dipacu oleh perubahan iklim dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Saya mencadangkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun (KCCI) menjalinkan kerjasama dengan dewan-dewan perniagaan di Kalimantan dan Brunei supaya kita dapat membentuk satu platform ekonomi Borneo yang bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Gawai-Kaamatan Bersama Ke-17 anjuran DCCI dan KCCI di Kompleks UNIFOR, pada Ahad.
Menurut Premier Sarawak, Pulau Borneo mempunyai kelebihan strategik kerana memiliki kira-kira 60 peratus litupan hutan hujan tropika yang menjadi antara penyimpan karbon terbesar dunia, sekali gus meletakkan rantau ini pada kedudukan penting dalam agenda perubahan iklim global.
Katanya, kelebihan tersebut perlu diterjemahkan kepada kerjasama ekonomi yang lebih tersusun bagi membolehkan Borneo muncul sebagai peneraju dalam pembangunan ekonomi hijau, perdagangan karbon, tenaga boleh diperbaharui dan industri berasaskan teknologi hijau.
Beliau berkata, penggabungan kekuatan Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei turut berpotensi memperluaskan peluang perdagangan, pelaburan serta pemindahan teknologi, di samping memperkukuh kedudukan Borneo dalam rundingan berkaitan pembangunan mampan di peringkat antarabangsa.
“Apabila kita bergerak bersama sebagai Borneo, suara kita akan menjadi lebih kuat dalam membincangkan isu ekonomi, alam sekitar dan perubahan iklim di peringkat global,” ujarnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kedudukan strategik Borneo di tengah-tengah ASEAN memberi kelebihan untuk membangunkan rangkaian ekonomi serantau yang saling melengkapi, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan pulau itu sebagai hab pertumbuhan baharu di Asia Tenggara.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti perniagaan di Sabah dan Sarawak supaya memanfaatkan hubungan erat yang sedia terjalin dengan rakan strategik di Kalimantan dan Brunei bagi merealisasikan agenda pembangunan ekonomi Borneo secara lebih menyeluruh dan mampan.-EDISI UKAS