Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Pembangunan Luar Bandar
ENGKILILI: Komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh pembangunan luar bandar diterjemahkan menerusi pengumuman beberapa peruntukan serta perkembangan projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat ketika Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 di Rumah Kennedy, Langkang Ulu, pada Ahad.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Ugah Embas berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 3 (B3) yang bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia, projek Jalan Ulu Skrang dan Jalan Basi yang kini dalam proses tender, selain usaha menaik taraf kira-kira 295 kilometer jalan balak di Lubok Antu dan Engkilili.
Dalam aspek kebajikan, beliau memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyediakan bantuan sehingga RM70,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak bagi mangsa bencana termasuk kebakaran.
Beliau turut memaklumkan Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu pembangunan rumah-rumah ibadat pelbagai agama.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan kelulusan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada JKKK Langkang Ulu, peruntukan RM50,000 bagi Projek Kebun Kelapa Sawit serta memaklumkan permohonan pembinaan jalan ke tanah perkuburan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata sambutan Gawai Dayak menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak kini menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti milik kerajaan negeri, selain mengumumkan MRP berjumlah RM20,000 kepada JKKK Langkang Ulu.
Terdahulu, Tuai Rumah Kennedy Imau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang terus memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar.
Beliau turut mengemukakan beberapa permohonan termasuk pembinaan jalan ke tanah perkuburan, pelaksanaan Projek Kebun Kelapa Sawit di bawah JKKK, menaik taraf sistem perparitan di belakang rumah panjang serta penyelesaian isu bekalan air bersih yang masih dihadapi penduduk.
Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; ADUN Engkilili, Dr Johnicol Rayong Ngipa, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi SUPP Engkilili, Jack Kua Seng, Setiausaha-setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Ahli-ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).-EDISI UKAS