Pembangunan Infrastruktur, Pendidikan Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur, memperluas akses pendidikan serta memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk pembinaan 20 jambatan di seluruh Sarawak bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan merancakkan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, bagi kawasan Sebuyau-Lingga pula, sebanyak 46 projek jalan raya serta 17 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu (SADA) sedang dan telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan serta taraf hidup rakyat.
Jelas beliau lagi,,komitmen kerajaan turut diterjemahkan menerusi penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang menjadi simbol keharmonian dan sokongan kerajaan terhadap pembangunan rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga pada Ahad.
Menyentuh aspek pendidikan, beliau berkata anak-anak Sarawak yang cemerlang khususnya dalam bidang STEM akan terus menikmati pelbagai inisiatif pendidikan termasuk pendidikan tinggi percuma di universiti milik Kerajaan Sarawak serta bantuan kewangan sehingga RM15,000 setahun kepada pelajar yang layak.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 bagi menjayakan penganjuran Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, Majlis Ngiling Tikai bukan sekadar simbol penutupan sambutan Gawai Dayak, malah mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, rakyat Sarawak kini menikmati pelbagai manfaat hasil pelaksanaan dasar kerajaan negeri termasuk diskaun 25 peratus bil elektrik sehingga Disember 2026 serta pendidikan tinggi percuma, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap kebajikan dan pembangunan modal insan.-EDISI UKAS