Pengurusan Fasiliti Awam Diperkukuh Melalui Kerjasama Strategik
KUCHING: Pengurusan fasiliti awam di Sarawak akan terus diperkasakan menerusi pendekatan strategik yang memanfaatkan kepakaran sektor swasta bagi memastikan aset awam diurus secara lebih cekap, mampan serta mampu memberikan nilai jangka panjang kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pengurusan fasiliti tidak lagi hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu, sebaliknya perlu memastikan aset awam diurus dan dikekalkan dengan baik sepanjang kitaran hayatnya.
Menurutnya, apabila ekonomi berkembang dan rangkaian infrastruktur semakin besar dan kompleks, pendekatan tradisional yang menyaksikan kerajaan menguruskan setiap aset secara langsung mungkin tidak lagi menjadi model paling berkesan.
“Kita memerlukan pendekatan yang lebih strategik, di mana kerajaan memberi tumpuan kepada tadbir urus, kawal selia, hala tuju dasar serta pemantauan prestasi, sambil memanfaatkan kekuatan sektor swasta dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Persidangan Pengurusan Fasiliti Asia Ke-5 di sini, pada Isnin.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, pendekatan perkongsian awam-swasta (PPP) semakin meluas digunakan di seluruh dunia, dengan kerajaan bertindak sebagai pemilik aset dan pengawal selia yang berkesan, manakala sektor swasta menyediakan perkhidmatan khusus berasaskan piawaian yang jelas serta akauntabiliti.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan kerajaan menjadi lebih tangkas dan cekap, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus memenuhi keperluan rakyat.
“Sarawak telah pun menerima pakai pendekatan ini dalam beberapa bidang. Satu contohnya ialah kutipan sisa pepejal, di mana perkhidmatan disampaikan oleh pengendali swasta di bawah pengawasan Kerajaan.
“Kerajaan terus menetapkan piawaian, memantau prestasi dan memastikan akauntabiliti, manakala pengendali sektor swasta menyumbang kepakaran, teknologi dan kecekapan operasi mereka dalam menyampaikan perkhidmatan ini.
"Kita kini harus membina kejayaan ini dan secara progresif memperluaskan prinsip yang sama ke bidang pengurusan aset awam yang lain,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata transformasi tersebut akan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap apabila penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada perancangan strategik, pelaksanaan dasar dan pemantauan prestasi.
Sehubungan itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menegaskan penjawat awam perlu memperkukuh kemahiran dalam pengurusan aset, perolehan, pentadbiran kontrak dan pembuatan keputusan berasaskan data, manakala sektor swasta perlu mengadaptasi teknologi, automasi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan fasiliti.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia Dato’ Sri Zohari Akob, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Ir. Dr. Cassidy Morris.-EDISI UKAS