Sambutan Hari Ibu Bapa Perkukuh Nilai Kekeluargaan Dalam Masyarakat
MIRI: Sambutan Hari Ibu Bapa anjuran Pertubuhan Membina Akhlak Teck Chiao Che Lee Khor Miri terus memainkan peranan penting sebagai platform memupuk nilai kasih sayang, hormat-menghormati serta mengukuhkan institusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
Program Miri Che Lee Khor 2026 Parent’s Day Dinner yang berlangsung di Hotel Dynasty, Miri pada Ahad malam itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) Datuk Rosey Yunus.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas komitmen berterusan menganjurkan program berunsur kekeluargaan yang memberi impak besar kepada pembentukan masyarakat berakhlak dan penyayang.
Menurut beliau, ibu bapa merupakan pendidik pertama dalam kehidupan setiap anak dan telah banyak berkorban demi memastikan anak-anak membesar dengan sempurna serta berjaya dalam kehidupan.
“Sehubungan itu, setiap anak perlu sentiasa menghargai, menghormati serta menjaga kebajikan ibu bapa, khususnya apabila mereka semakin meningkat usia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam kesibukan kehidupan moden, masyarakat tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa, sebaliknya perlu meluangkan masa berkualiti bersama mereka sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan.
Tambah beliau, nilai menghormati ibu bapa perlu dipupuk sejak kecil kerana teladan yang ditunjukkan akan membentuk generasi yang lebih penyayang, bertanggungjawab serta berakhlak mulia pada masa hadapan.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Membina Akhlak Teck Chiao Che Lee Khor Miri, Tony Pui bersama ahli-ahli pertubuhan dan keluarga.-EDISI UKAS