Kapasiti Loji Rawatan Air Batu Kitang Dipertingkat, Tambah 100 Juta Liter Sehari
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sistem bekalan air di selatan negeri ini menerusi projek naik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 868 juta liter sehari kepada 968 juta liter sehari menjelang hujung tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peningkatan kapasiti sebanyak 100 juta liter sehari itu akan memperkukuh kestabilan bekalan air, khususnya di Bahagian Kuching dan Samarahan yang mencatat pertumbuhan pembangunan serta permintaan air yang semakin meningkat.
Menurutnya, projek naik taraf yang melibatkan pembinaan Modul 7 bermula pada 3 Oktober 2024 kini telah mencapai kemajuan kira-kira 66.7 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan.
"Projek bernilai RM139 juta ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
"Apabila siap kelak, loji ini akan dapat menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat sejajar dengan pembangunan pesat di kawasan Kuching, Samarahan dan kawasan sekitarnya," katanya ketika ditemui media semasa lawatan ke Loji Rawatan Air Batu Kitang pada Selasa.
Sementara itu jelasnya, Modul 7 merangkumi pembinaan lima tangki rawatan air, dengan tiga daripadanya telah beroperasi sepenuhnya, manakala dua lagi dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat selepas proses pentauliahan selesai.
Malah katanya, beberapa komponen lain termasuk pembinaan kemudahan 'mixer' baharu serta sistem pengambilan air mentah tambahan turut giat dilaksanakan bagi melengkapkan keseluruhan operasi loji berkenaan.
Menyentuh isu gangguan bekalan air, Dato Sri Julaihi menjelaskan air yang dihasilkan di loji berkenaan sentiasa memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, manakala masalah seperti air keruh lazimnya berpunca daripada kebocoran paip atau kerja-kerja pihak ketiga yang menjejaskan sistem agihan.
"Sekiranya berlaku kebocoran, ia akan menjejaskan tekanan serta kualiti bekalan air. Oleh itu, kerja-kerja 'flushing' perlu dilaksanakan bagi membersihkan sistem paip walaupun ia mungkin menyebabkan tekanan air berkurangan untuk sementara waktu," jelasnya.
Lawatan tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, serta wakil agensi berkaitan termasuk Sarawak Water.-EDISI UKAS