Empat Syarikat Terima Kelulusan Lot Industri, Taman Perindustrian Sri Aman Bakal Beroperasi
SIMANGGANG: Taman Perindustrian Sri Aman bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi di Bahagian Sri Aman apabila empat syarikat menerima surat kelulusan lot industri bagi memulakan operasi di kawasan perindustrian tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyertaan syarikat-syarikat berkenaan diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan ke Sri Aman.
Menurut beliau, pembangunan taman perindustrian itu juga akan memperkukuh kerjasama strategik antara sektor swasta dan kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing Sri Aman sebagai sebuah hab perindustrian di Sarawak.
“Penyertaan syarikat-syarikat akan membolehkan Taman Perindustrian Sri Aman menjadi pemangkin kepada pasaran pekerjaan baharu di samping meningkatkan ekonomi setempat serta membuka ruang kerjasama strategik antara pihak swasta dan kerajaan.
“Selain itu, pembangunan taman perindustrian ini juga diharap dapat menarik lebih banyak pelabur dan sekali gus menjadikan Sri Aman sebagai salah satu hab perindustrian yang berdaya saing di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian surat kelulusan lot industri di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Selasa.
Empat syarikat yang menerima surat kelulusan tersebut ialah TYM Construction Sdn Bhd, Jerok Oil Palm Sdn Bhd, Hiong Huat Metal & Aluminium Sdn Bhd serta Kii Kuang Sing Development Sdn Bhd.
TYM Construction Sdn Bhd, Jerok Oil Palm Sdn Bhd dan Hiong Huat Metal & Aluminium Sdn Bhd masing-masing menerima kelulusan bagi lot seluas 0.3 ekar yang diterima oleh pengarah syarikat mereka iaitu Tay Yaw Ming, Su Teng Eik dan Ngei Hwa Siing.
Sementara itu, Kii Kuang Sing Development Sdn Bhd yang diwakili Dennis Kii menerima kelulusan lot berkeluasan 0.39 ekar.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak pada 2018 meluluskan peruntukan RM32.7 juta bagi pembangunan Taman Perindustrian Sri Aman di kawasan Parlimen Sri Aman.
Fasa pertama projek yang dibangunkan di atas kawasan seluas 5.5 hektar siap pada 25 Mac 2020 dengan kos RM5.13 juta, manakala fasa kedua bernilai RM8.64 juta melibatkan pembinaan 21 lot perniagaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datu Lester Matthew, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, wakil Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Sr Roslan Putit, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang serta Penguasa JTS Sri Aman, Michaelson Nyisin.- EDISI UKAS