Pembangunan Modal Insan Diperkasa Sokong Aspirasi PCDS 2030
KAPIT: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan modal insan sebagai agenda strategik negeri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, usaha tersebut menuntut pembangunan bakat yang seimbang dengan perkembangan teknologi, pendigitalan serta keperluan industri yang semakin dinamik.
Menurut beliau, golongan belia perlu merebut peluang meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran digital dan kompetensi profesional bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Pembangunan modal insan berkualiti merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak. Justeru, belia perlu terus melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran digital dan kompetensi yang memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mini Hari Bersama Pelanggan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah pada Selasa.
Menurut beliau penganjuran program outreach seperti itu turut membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih inklusif dan mudah diakses oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Pengerusi SPANS Datu Kameri Affandi berkata, program tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pengambilan dan pembangunan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, malah menjadi platform mendapatkan maklum balas secara terus daripada jabatan kerajaan berhubung pengurusan sumber manusia.
Menurut beliau, sesi libat urus bersama ketua-ketua jabatan di Bahagian Kapit turut membincangkan pelbagai langkah penambahbaikan, termasuk aspek pengambilan dan penempatan pegawai, pembangunan kompetensi, pendigitalan pengurusan sumber manusia serta usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam negeri.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan perkhidmatan awam negeri terus diperkasakan melalui sistem pengurusan sumber manusia yang lebih cekap, responsif dan memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.
Sepanjang program berlangsung, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, mengikuti sesi perkongsian teknik menghadapi temu duga, taklimat pengambilan jawatan mengikut gred serta penerangan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program itu turut disertai pelbagai agensi kerajaan menerusi pameran dan kaunter perkhidmatan, termasuk Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDM), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Program Jualan Rahmah MADANI. - EDISI UKAS