Sarawak Peruntuk Hampir RM5.9 Bilion Perkukuh Sistem Bekalan Air Menjelang 2030
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM5.9 bilion bagi melaksanakan Sarawak Water Master Plan dan Sarawak Water Grid System sebagai usaha memperkukuh sistem bekalan air di seluruh negeri serta memastikan liputan bekalan air yang lebih menyeluruh menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kedua-dua pelan utama itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan infrastruktur bekalan air, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita sekarang melaksanakan Sarawak Water Master Plan dan Sarawak Water Grid System di seluruh Sarawak dan semuanya menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak sendiri, hampir RM5.9 bilion,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi Samarindah, pada Selasa.
Beliau berkata, selain pelaksanaan kedua-dua pelan induk tersebut, kerajaan turut memperuntukkan RM1.1 bilion bagi menggantikan paip usang serta menaik taraf sistem perpaipan sepanjang 2,740 kilometer di seluruh Sarawak bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW).
“Program mengganti dan menaik taraf paip di seluruh Sarawak sedang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. Kini kita sudah memasuki tahun kedua dan ketiga pelaksanaannya, dan kerja-kerja sedang dijalankan secara rancak di lapangan sama ada oleh JBALB ataupun Sarawak Water,” jelasnya.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan antara inisiatif utama kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem agihan air serta mengurangkan kehilangan bekalan air akibat kebocoran paip lama.
Tambah beliau, selain menaik taraf infrastruktur di kawasan bandar, kerajaan turut memberi perhatian kepada kawasan pedalaman yang sukar diakses melalui pelaksanaan sistem alternatif seperti Sarawak Alternative Water Supply System (SAWAS) dan Sarawak Rural Electrification Scheme (SARES) yang menggunakan sistem berdiri sendiri (stand-alone).
Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak serius dalam meningkatkan liputan bekalan air di seluruh negeri walaupun masih terdapat beberapa kawasan yang berdepan kekangan.
“We are very serious. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kita sangat serius untuk meningkatkan liputan bekalan air di seluruh Sarawak, terutama di kawasan luar bandar. Memang kita akui masih terdapat kekurangan di beberapa tempat, tetapi semua projek sedang dilaksanakan,” katanya.
Dato Sri Julaihi berkata, pelaksanaan pelbagai projek di bawah pelan induk bekalan air itu diyakini mampu mencapai sasaran kerajaan untuk menyediakan sistem bekalan air yang lebih stabil, cekap dan mampan kepada rakyat di seluruh Sarawak menjelang tahun 2030.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Maselni Jamal, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: Natalie Cherinie Johnny