Jawatankuasa Penyelarasan Industri Kreatif Perkukuh Industri Kreatif Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan industri kreatif negeri menerusi pendekatan lebih tersusun dan kolaboratif dengan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Industri Kreatif Sarawak (SCICC) Bilangan 1/2026 yang menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, institusi akademik dan pihak berkepentingan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, industri kreatif kini muncul sebagai antara sektor ekonomi penting yang bukan sahaja menjana peluang pekerjaan dan inovasi, malah memperkukuh identiti budaya serta menyokong pembangunan pelancongan dan komuniti.
Menurut beliau, penubuhan SCICC mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti bagi merangka dasar serta inisiatif yang lebih responsif terhadap keperluan industri.
“Tiada satu agensi atau organisasi mampu membangunkan industri kreatif secara bersendirian. Melalui SCICC, kita akan memperkukuh rundingan, penyelarasan dan kerjasama untuk menterjemahkan kreativiti kepada perusahaan, budaya kepada nilai ekonomi dan warisan kepada pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Industri Kreatif Sarawak (SCICC) di Kuching pada Selasa.
Katanya, SCICC berperanan sebagai platform penasihat strategik kepada kementerian dalam mengemukakan cadangan berkaitan pembangunan dan promosi industri kreatif Sarawak.
Bagi menyokong fungsi tersebut katanya, empat kumpulan tugas khusus diwujudkan meliputi bidang Seni Kreatif, Seni, Budaya dan Warisan, Produksi Media dan Teknologi Maklumat serta Reka Bentuk.
Kumpulan-kumpulan ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, akses pasaran, inovasi, pengkomersialan, transformasi digital serta penerokaan peluang baharu dalam industri kreatif.
Pada mesyuarat itu, kementerian turut membentangkan strategi memperkukuh ekosistem industri kreatif Sarawak melalui penggabungan program pembangunan kapasiti dan peluasan akses pasaran.
Antara inisiatif yang diteruskan ialah Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian yang menyokong pelbagai program seperti bengkel kraf tradisional, latihan seni persembahan, bengkel kulinari, dokumentasi warisan, pameran serta penerbitan bagi meningkatkan keupayaan penggiat seni, artisan dan pengamal budaya.
Selain itu, Geran Acara kementerian terus dimanfaatkan untuk menyokong penganjuran festival dan program yang membuka peluang kepada usahawan kreatif, artisan, penggiat seni persembahan serta pengusaha makanan mempromosikan dan mengkomersialkan produk serta perkhidmatan mereka.
Antara contoh yang diketengahkan ialah Nyamai Sarawak Gastronomy Festival dan TAPAS International Asia Culinary Competition yang bukan sahaja mempromosikan warisan gastronomi Sarawak, malah membuka peluang jaringan perniagaan, memperluaskan akses pasaran serta menjana pendapatan kepada usahawan tempatan.
Kementerian turut menegaskan komitmennya melindungi aset kreatif Sarawak melalui pendaftaran Harta Intelek (IP) dan Petunjuk Geografi (GI).
Sehingga kini, sebanyak 41 acara ikonik Sarawak telah didaftarkan di bawah perlindungan hak cipta, manakala usaha mendapatkan pengiktirafan GI akan diteruskan bagi produk warisan termasuk Baju Kuas Iban Balau Sri Aman, di samping cadangan bagi Buriek Kapit dan Baju Gagong Batang Rajang dalam tempoh terdekat.
Mesyuarat berkenaan diakhiri dengan perbincangan mengenai strategi memperkukuh pembangunan bakat, keusahawanan, pengkomersialan, inovasi dan kerjasama rentas sektor bagi memperkasakan ekosistem industri kreatif Sarawak.- EDISI UKAS