Projek Pembaikan Tembok Penahan Taman Hilltop Bernilai RM400,000 Bermula
MIRI: Projek pembaikan tembok penahan yang runtuh di Taman Hilltop kini dilaksanakan dengan peruntukan khas Kerajaan Sarawak berjumlah RM400,000 bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.
Kerja pembaikan yang melibatkan kawasan di belakang tiga buah rumah di Lorong 3A itu telah bermula sejak 4 Jun lalu dan sedang berjalan mengikut jadual meskipun melibatkan skop kerja yang kompleks.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan kerana melibatkan proses merobohkan struktur lama sebelum pembinaan semula tembok penahan baharu.
“Projek ini agak kompleks kerana struktur lama perlu dirobohkan dan dibina semula sepenuhnya. Saya telah meminta kontraktor supaya mempercepatkan kerja tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kualiti,” katanya ketika meninjau tapak projek, pada Isnin.
Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut merupakan pembiayaan khas yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) dan bukan di bawah kategori projek kecemasan biasa, hasil permohonan yang dikemukakan bagi menyelesaikan isu berlarutan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap kebajikan penduduk yang terjejas, termasuk isu kerosakan tangki septik yang masih belum dibaiki susulan kerja pembinaan.
Dato Sri Lee turut memberi jaminan akan terus memantau pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan semua isu yang timbul dapat ditangani dengan segera sepanjang tempoh pembinaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek di Taman Hilltop merupakan salah satu daripada tiga projek khas yang berjaya diperoleh peruntukan, selain kerja pembaikan jalan di Jalan Riam Lama dan pembaikan cerun berhampiran Taman Bumiko, dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.3 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menerima aduan penduduk berhampiran yang berdepan masalah hakisan tanah di belakang rumah mereka dan memaklumkan perkara itu akan diteliti bersama agensi berkaitan.
“Kes ini akan kita teliti dan saya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik demi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.-EDISI UKAS