TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Jawatankuasa Mowe Nation Festival 2026
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Mowe Nation Festival 2026 di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Penasihat Mowe Nation Festival 2026, Patricia Mowe bersama Pengerusi Pengelola Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman serta barisan Jawatankuasa Induk festival.
Kunjungan itu bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Mowe Nation Festival 2026 yang dijadual berlangsung di Sibu pada Julai depan.
Pada sesi tersebut, jawatankuasa turut memberi taklimat mengenai persiapan, pengisian program dan objektif penganjuran festival yang bertujuan mengetengahkan warisan budaya, kesenian serta identiti masyarakat pelbagai kaum di Sarawak ke peringkat lebih luas.
Tun Pehin Sri Wan Junaidi menyambut baik penganjuran festival bertaraf antarabangsa tersebut dan menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sahaja mampu mempromosikan kepelbagaian budaya Sarawak, malah berpotensi menjadi platform penting dalam merancakkan sektor pelancongan, ekonomi kreatif serta memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
Tun Pehin Sri dan isteri menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran Mowe Nation Festival 2026 serta berharap festival tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan demi manfaat rakyat dan pembangunan Sarawak. -EDISI UKAS