Tradisi Merarau, Ngiling Bidai Terus Kukuhkan Perpaduan Masyarakat
MERADONG: Tradisi Merarau dan Ngiling Bidai terus menjadi lambang penghargaan terhadap warisan budaya masyarakat Dayak di samping memperkukuh semangat perpaduan, muafakat dan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran majlis seumpama itu membuktikan komitmen masyarakat dalam memelihara adat resam yang diwarisi turun-temurun agar terus relevan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Merarau dan Ngiling Bidai Hari Gawai Dayak anjuran Rumah Caroline Insat, Bukit Tinggi Tahun 2026 di Kim Hock Lim Restaurant pada Sabtu.
Menurut beliau, Majlis Merarau dan Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai Dayak, malah mencerminkan rasa syukur, penghargaan terhadap warisan budaya serta azam untuk meneruskan kehidupan dengan semangat baharu.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus mempertahankan nilai-nilai murni seperti semangat bergotong-royong, hormat-menghormati, toleransi dan kasih sayang yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat.
Katanya, penganjuran program kebudayaan seperti itu memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan penduduk, sanak saudara dan para tetamu, sekali gus memperkukuh perpaduan komuniti.-EDISI UKAS