MERADONG: Program Ngiling Bidai anjuran SABERKAS Cawangan Meradong terus menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat serta memelihara warisan budaya masyarakat Dayak melalui penglibatan aktif komuniti dan golongan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tradisi Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai Dayak, malah menjadi simbol penghargaan terhadap adat resam dan budaya yang diwarisi turun-temurun.
Menurut beliau, penganjuran program sedemikian turut menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk, ahli SABERKAS, golongan belia serta masyarakat setempat.
“Melalui penglibatan bersama dalam aktiviti seperti ini, kita dapat mewujudkan semangat perpaduan, kerjasama dan kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ngiling Bidai SABERKAS Meradong 2026 di Dewan Masyarakat Bintangor pada Sabtu.
Menurut Datuk Ding, penyertaan aktif golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan perlu terus digalakkan kerana mereka merupakan pewaris yang akan meneruskan usaha memelihara warisan budaya serta membangunkan komuniti pada masa hadapan.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Dominir Amor, Pemanca Agan Anak Luat, Pemanca Yii Hee Sieng, penghulu-penghulu serta ketua kaum dan ketua masyarakat Daerah Meradong.