SIDS Meradong Terus Perkasa Budaya Dan Perpaduan Melalui Ngiling Bidai
MERADONG: Tradisi Ngiling Bidai terus diperkasakan sebagai medium memelihara warisan budaya masyarakat Dayak di samping mengukuhkan perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, warisan budaya dan adat resam perlu terus dipelihara agar kekal menjadi identiti masyarakat meskipun berdepan arus pembangunan dan perubahan yang pesat.
“Dalam era pembangunan dan perubahan yang pesat pada masa kini, kita perlu terus memelihara budaya serta adat resam yang menjadi identiti masyarakat kita.
“Nilai-nilai seperti hormat-menghormati, kerjasama, toleransi dan perpaduan perlu terus dipupuk agar warisan yang kita miliki tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Bidai 2026 Peringkat Daerah Meradong anjuran SIDS Cawangan Meradong di sini, pada Sabtu.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada SIDS yang sentiasa memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita, memelihara budaya serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Beliau menambah, sumbangan dan penglibatan aktif kaum wanita dalam pelbagai bidang telah memberikan impak yang besar kepada pembangunan komuniti.-EDISI UKAS