Insiden Samarahan Bike Challenge 2026 Disiasat, Aspek Keselamatan Akan Diperkukuh
KOTA SAMARAHAN: Pejabat Daerah Samarahan akan memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan peserta pada penganjuran Samarahan Bike Challenge pada masa akan datang susulan insiden kemalangan yang berlaku semasa edisi 2026 pada 28 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, pejabat berkenaan menzahirkan rasa dukacita atas insiden tersebut sambil menegaskan bahawa keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan peserta, petugas serta orang awam sentiasa menjadi keutamaan sepanjang penganjuran program.
Menurut kenyataan itu, sejurus kejadian berlaku, pasukan tindak balas kecemasan bersama petugas perubatan telah digerakkan bagi memberikan bantuan segera kepada peserta yang terlibat.
Pejabat Daerah Samarahan turut merakamkan penghargaan kepada anggota perubatan, pasukan kecemasan, agensi penguat kuasa serta pegawai teknikal yang bertindak pantas mengawal keadaan dan menguruskan insiden berkenaan.
Pada masa sama, Pejabat Daerah Samarahan kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Berbasikal Sarawak selaku rakan teknikal, selain agensi penguat kuasa dan pihak berkepentingan lain bagi mendapatkan fakta serta gambaran lengkap berhubung insiden tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga proses siasatan dan pengesahan fakta selesai.
Menurut kenyataan itu lagi, dapatan siasatan akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti penambahbaikan dalam aspek perancangan, penyelarasan dan langkah keselamatan untuk penganjuran acara pada masa hadapan.
Pejabat Daerah Samarahan turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap acara berbasikal yang dianjurkan di Kota Samarahan memenuhi piawaian terbaik dari segi keselamatan, pengurusan dan penyelarasan.
Dalam pada itu, penghargaan turut dizahirkan kepada semua peserta, rakan strategik dan masyarakat setempat atas kesabaran, kefahaman serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pengurusan insiden tersebut.-EDISI UKAS