Kerajaan Sarawak Perluas Akses Tanah Pertanian Baharu, Pacu Ekonomi Luar Bandar Sri Aman
SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang membuka akses kepada kawasan penerokaan tanah pertanian baharu, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan Sri Aman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pelbagai projek utama sedang dan akan dilaksanakan, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 2, naik taraf Jalan Ulu Paku serta naik taraf Jalan Guntong Menalang/Sungai Tenggak.
Menurut beliau, turut diberi perhatian ialah pembinaan jambatan konkrit merentasi Sungai Undop di Kampung Beleti serta pembinaan Jalan Brayun Basi/Stuga bagi meningkatkan jaringan perhubungan ke kawasan pertanian.
“Semua projek ini merupakan inisiatif khas Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat Sri Aman mendapatkan akses bagi membangunkan tanah serta melaksanakan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian demi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai dan Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Baik Pulih Rumah Panjang di Rumag Intai Kilau, San Ugol Atas, pada Ahad.
Datuk Francis turut menyeru rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Sarawak bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk manfaat masyarakat.
Katanya, kemudahan seperti jalan akses dan jambatan konkrit yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian.
“Rakyat perlu mengambil peluang daripada kemudahan yang disediakan ini untuk membangunkan tanah, meningkatkan hasil pertanian dan seterusnya memperbaiki taraf hidup keluarga masing-masing,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM45,000 kepada 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Simanggang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan dan kemasyarakatan di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS