Persiapan SKS Di Sibu Dipergiat Menjelang Pembukaan 10 Julai Ini
SIBU: Persiapan bagi penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Sibu kini memasuki fasa akhir apabila kerja-kerja pemasangan khemah dan penyediaan tapak di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang giat dilaksanakan menjelang pembukaannya pada 10 Julai ini.
Tinjauan di tapak program hari ini mendapati beberapa khemah utama mula didirikan bagi menempatkan ruang pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan, gerai usahawan, pentas utama, urus setia serta pelbagai kemudahan untuk pengunjung sepanjang program berlangsung.
Selain itu, kerja-kerja penyediaan infrastruktur lain akan turut dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan semua persiapan disiapkan mengikut jadual.
Persiapan rapi yang dilaksanakan lebih awal adalah selaras dengan usaha memastikan kelancaran pelaksanaan Program SKS 2026 Peringkas Bahagian Sibu yang merupakan penganjuran edisi kelima.
Penganjuran di Sibu akan menjadi lokasi pertama bagi Zon Tengah sebelum program diteruskan di Kompleks Sukan Sarikei dari 7 hingga 9 Ogos, Dataran Pehin Sri Raja, Mukah dari 28 hingga 30 Ogos dan Kompleks Sukan Betong dari 4 hingga 6 September depan.
Program SKS merupakan platform yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat menerusi pameran, kaunter perkhidmatan, sesi libat urus, aktiviti komuniti serta penyertaan usahawan tempatan.
Program itu turut menyasarkan kehadiran pengunjung yang tinggi di setiap lokasi penganjuran, sejajar dengan matlamat memperluaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai inisiatif pembangunan negeri.-EDISI UKAS