Pembukaan Semula Teratak Kasih Tok Nan Miri Perkukuh Sokongan Kepada Komuniti HIV
MIRI: Pembukaan semula Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Miri di premis baharu menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat dalam memperkukuh perkhidmatan sokongan kepada individu yang hidup dengan HIV serta golongan rentan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pemindahan ke premis baharu itu melambangkan pertumbuhan organisasi dan peningkatan keupayaan Teratak Kasih Tok Nan dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada komuniti.
Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak, Yayasan AIDS Malaysia, NGO serta rakan korporat yang sentiasa komited memastikan lebih ramai individu mendapat akses kepada perkhidmatan sokongan, rawatan dan bantuan secara inklusif.
“Kerajaan Negeri Sarawak kekal komited menyokong usaha mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030. Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, NGO, sektor swasta, institusi kesihatan dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Semula Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Miri serta Majlis Ngiling Bidai di Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Miri, Lai Pau Garden, pada Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo, Datuk Amar Jamilah Anu, Yayasan AIDS Malaysia, Teratak Kasih Tok Nan serta semua penyumbang dan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memperluaskan inisiatif berkenaan ke Kuching, Miri dan Bintulu.
Dalam pada itu, beliau berkata semangat Ngiling Bidai yang menandakan penutupan rasmi sambutan Hari Gawai wajar terus dijadikan simbol perpaduan dan kebersamaan masyarakat dalam membina Sarawak yang lebih penyayang, inklusif dan sejahtera.
Hadir sama Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia merangkap Majlis AIDS Malaysia, Dr. Zaiton Yahaya.-EDISI UKAS