Ride Subuh Mahabbah Jadi Platform Bimbing Belia Ke Arah Aktiviti Positif
TATAU: Program Ride Subuh Mahabbah menjadi platform membimbing golongan belia menyalurkan minat terhadap dunia permotoran ke arah yang lebih sihat dan positif, di samping mengukuhkan nilai kerohanian serta semangat perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penglibatan belia dalam kelab permotoran yang berdaftar mampu membentuk disiplin, sekali gus menjadikan ahli kelab sebagai mentor kepada generasi muda.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan terhadap program yang menghimpunkan seramai 284 peserta termasuk penunggang bukan Islam membuktikan aktiviti permotoran mampu menjadi medium penyatuan masyarakat.
“Di sini apa yang saya minta kepada golongan belia supaya masuk ke kelab-kelab yang boleh membimbing mereka supaya mereka boleh menggunakan bakat mereka dalam dunia permotoran ke jalan yang sihat.
“Kami bersama ahli-ahli kelab juga merancang untuk mengadakan lebih banyak program permotoran dan akan berbincang dengan pihak Pejabat Daerah supaya ia dapat dimasukkan dalam kalendar tahunan di Bahagian Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Program Ride Subuh Mahabbah 1.0 di Masjid Daerah Tatau pada Ahad.
Sementara itu, pencetus idea program, Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya atau Aman Boy berkata, Ride Subuh Mahabbah diilhamkan selepas beliau menyertai program seumpamanya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap komuniti penunggang motosikal dengan menunjukkan mereka juga mampu menganjurkan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Selalu orang mempunyai persepsi bahawa rider itu rempit, tetapi kami mahu tunjukkan komuniti rider juga boleh melakukan perkara yang baik dan bukan semata-mata berlumba,” ujarnya.
Program anjuran Bintulu Motorsport Club dengan kerjasama Masjid At-Taqwa itu dimulakan dengan pengisian kerohanian sebelum peserta berkonvoi dari Bintulu ke Masjid Daerah Tatau bagi menunaikan solat Subuh berjemaah dan mengikuti ceramah agama.- EDISI UKAS