Bahan Api Berasaskan Alga Keluaran Gedong Berpotensi Digunakan AirBorneo
GEDONG: Bahan api penerbangan mampan (SAF) yang dihasilkan berasaskan alga di Gedong berpotensi digunakan oleh syarikat penerbangan AirBorneo pada masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, alga merupakan antara sumber baharu yang boleh diproses untuk menghasilkan minyak, termasuk bahan api penerbangan.
"Alga ini menjadi bahan untuk menghasilkan minyak, termasuk minyak kapal terbang.
"Kalau kita dapat menghasilkannya, AirBorneo akan menggunakan minyak dari Borneo juga, mungkin daripada Gedong.
"Jadi, ini semuanya merupakan teknologi-teknologi baharu," katanya ketika berucap dalam Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut meminta PETROS untuk meneliti potensi sumber gas asli di Gedong berikutan penemuan pelepasan gas ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan di kawasan tersebut.
Katanya, keadaan yang sama turut berlaku di Lawas dan ia memberi petunjuk bahawa terdapat kemungkinan kewujudan gas asli di bawah tanah.
"Apabila kita membina bangunan di Gedong dan menjalankan kerja-kerja cerucuk (piling), gas sering keluar termasuk juga keadaannya di Lawas.
"Maknanya, mesti ada gas di bawah tanah, iaitu apa yang disebut sebagai gas asli," katanya.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Irwan Bahari Bujang, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Natalie Cherinie Johnny