Jalan Gedong-Semalatong Dijangka Siap Dalam Tempoh Satu Hingga Dua Tahun
GEDONG: Projek pembinaan jalan yang menghubungkan Gedong dengan Ulu Simunjan menerusi Semalatong dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan menyeluruh kerajaan bagi kedua-dua kawasan berkenaan.
"Dahulu, Ulu Simunjan agak jauh kerana jalan rayanya 'berpusing' maka hari ini kita telah membangunkan laluan baharu yang diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi menerusi Semalatong dan seterusnya ke Gedong.
"Maknanya, ia akan merapatkan Gedong dengan Simunjan, termasuk Ulu Simunjan," katanya ketika berucap dalam Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, kerajaan turut menaik taraf Jalan Munggu Kopi yang menghubungkan Serian ke Gedong sebelum diteruskan ke Samarahan yang merupakan projek jalan raya 'dual-carriageway' menghubungkan Samarahan, Serian dan Samarahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu memberitahu, apabila keseluruhan rangkaian jalan itu siap, laluan dari Munggu Kopi ke Gedong akan disambungkan ke Rembus di Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya sebelum menghubungkan Kuching menerusi jambatan baharu di Sejingkat.
Ujarnya, jaringan jalan tersebut seterusnya akan menghubungkan Sebuyau, Jambatan Batang Lupar, Lingga di Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan masa perjalanan serta membolehkan perhubungan jalan raya antara kawasan selatan dan pertengahan Sarawak.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Irwan Bahari Bujang, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Natalie Cherinie Johnny