1,238,159 Hektar Tanah NCR Selesai Disukat Hingga 31 Mei 2026
SIMANGGANG: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyukat seluas 1,238,159 hektar Tanah Hak Adat (NCR) sehingga 31 Mei 2026 berbanding 1,217,766 hektar pada 30 September 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut, sejumlah 966,938 hektar tanah NCR terbabit sudah pun diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) sebagai Rizab Komunal Bumiputera.
"Menjelang tahun 2010 dahulu, Kerajaan Sarawak hanya berjaya menyukat sejumlah 260,000 tanah NCR di Sarawak sebelum Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dilaksanakan pada tahun yang sama.
"Hasil daripada perlaksanaan inisiatif baharu terbabit, Kerajaan Sarawak telah pun berjaya menyukat lebih 1.2 juta hektar tanah NCR dalam negeri ini hanya dalam tempoh 15 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Sekyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Surat Hak Milik Tanah Sekysen 18 KTS bagi Bahagian Sri Aman, pada Selasa.
Susulan itu, beliau menasihati pemilik tanah NCR dalam negeri agar memohon menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu jika belum berbuat demikian demi kepentingan anak cucu mereka.
Katanya lagi, kebanyakan golongan generasi muda Sarawak sekarang tinggal di bandar-bandar, luar negeri atau di luar negara dan hanya pulang ke kampung halaman ketika berlangsung musim perayaan.
"Mungkin ramai di antara golongan terbabit yang masih belum mengetahui sempadan tanah NCR milik keluarga mereka berbanding orang lama dan jika tidak diatasi segera mungkin boleh mendatangkan masalah pada masa hadapan.
"Justeru, saya menasihat pemilik tanah NCR dalam negeri ini agar bertindak segera memohon menyertai program ini agar anak cucu mereka tahu sempadan tanah mereka dan seterusnya mengelak berlaku perselisihan faham," katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Dato Jasni Jubli, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, wakil Pengarah JTS Sarawak Sr Roslan Putit, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang dan Penguasa JTS Sri Aman Michaelson Nyisin.
Terdahulu, sejumlah 468 individu dari kawasan DUN Bukit Begunan, DUN Simanggang dan DUN Lingga telah menerima sejumlah 620 surat hakmilik tanah bagi Seksyen 18 KTS pada majlis itu.
Majlis terbabit juga turut menyaksikan sejumlah 72 warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 KTS telah disampaikan kepada penerima dari kawasan DUN Balai Ringin, DUN Bukit Begunan dan DUN Simanggang. -EDISI UKAS